UniMAP, UNIMAS tawar kepakaran teknologi solar

0

Telah lawat SMK Petra Jaya khusus untuk beri penerangan tentang kepakaran yang bakal ditawarkan

Oleh Agnes Tugong //

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berhasrat menawarkan kepakaran teknologi solar yang dimiliki kedua-dua universiti itu di negeri ini.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor (JKNCR) Universiti Awam Brigedier Jeneral Datuk Profesor Emeritus Dr Kamarudin Hussin ketika ditemui pemberita pada satu majlis di UNIMAS semalam.

“Ini merupakan program tanggungjawab sosial pertama Naib Canselor semua universiti awam kepada masyarakat terutama pelajar sekolah yang dijalankan sempena berlangsungnya Mesyuarat JKNCR yang dihoskan oleh UNIMAS kali ini.

“Buat permulaan, kita memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya di sini bagi menjalankan projek ini dan ia akan dikembangkan ke sekolah-sekolah lain mengikut kesesuaian,” katanya.

Tambah Kamarudin yang juga baib canselor UniMAP, pihaknya termasuk para penyelidik teknologi solar daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik telah mengadakan lawatan ke SMK Petra Jaya khusus untuk memberi penerangan tentang kepakaran yang bakal ditawarkan ini.

Lawatan itu turut disertai naib canselor daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Pemilihan SMK Petra Jaya adalah atas cadangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan tiga projek telah dikenal pasti sesuai dijalankan di sekolah ini iaitu Green Gazebo yang menggunakan tenaga solar untuk menghidupkan lampu, kipas dan peralatan elektronik lain termasuk usb.

“Bagi menjayakan projek ini, pihak UNIMAS akan menyediakan gazebo manakala UniMAP akan bertanggungjawab menyediakan sistem solar termasuk pemasangan lengkap sistem,” ujarnya sambil menambah, projek kedua ialah Solar Greenhouse dan ketiga Green Bus Stop.

Projek Solar Greenhouse akan menyaksikan teknologi solar digunakan untuk mengawal aktiviti pengairan, suhu dan teknologi-teknologi pertanian lain dalam rumah hijau.

Manakala Green Bus Stop merupakan projek di mana hentian bas akan dipasang dengan lampu dan kipas yang dibekalkan oleh tenaga solar.

“Pada waktu siang, kipas akan berfungsi secara langsung menggunakan tenaga solar matahari manakala pada waktu malam, lampu dan kipas akan dipasang menggunakan tenaga solar yang disimpan dalam bateri,” jelas Kamarudin.