Sukma 2012 fokus utama Sarawak

0

Kegagalan di Kuala Lumpur bukannya bermakna atlet negeri tidak mampu mencabar: Mawan

KUCHING: Berkedudukan di tangga ke-12 pada Sukan Malaysia (Sukma XIV) di Kuala Lumpur baru-baru ini bukan bermakna Sarawak tidak mampu memberi saingan sebaliknya tumpuan kepada Sukma XV di Pahang pada tahun hadapan Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Tan Sri William Mawan Ikom berkata kegagalan kontinjen Sukma Sarawak pada temasya di Kuala Lumpur baru-baru ini adalah disebabkan kebanyakan acara yang dipertandingkan di Kuala Lumpur adalah sukan pilihan bukannya sukan wajib.

Mawan menjelaskan bahawa Sarawak hanya menyertai 12 acara sukan sahaja daripada 19 acara yang dipertandingkan pada temasya Sukma XIV itu.

“Kebanyakan sukan yang kita sertai pada Sukma KL adalah sukan yang masih baru dan kita belum mempunyai program pembangunannya, malah sukar bagi kita membentuk pasukan-pasukan atau atlet-atlet terbaik dalam masa yang singkat,” katanya.

Berucap menggulungkan perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam, Mawan berkata Sarawak akan memberi fokus pada Sukma yang dianjurkan di negerinegeri kerana semua sukan adalah wajib dan kita sememangnya memiliki atlet-atlet terbaik.

Untuk itu, katanya, Sarawak kini telah bersiap sepenuhnya untuk menghadapi temasya Sukma di Pahang yang bakal diadakan pada tahun depan.

“Kita tidak kecewa dengan kedudukan kita di tangga tercorot pada Sukma XIV lalu, sebaliknya kita memberi tumpuan khusus dalam menghadapi Sukma akan datang,” katanya sambil menambah bahawa pembangunan sukan-sukan terbabit tetap diteruskan.