Lelaki rogol teman wanita dipenjara 12 tahun, 10 sebatan

5

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki selepas mengaku salah ke atas tiga dakwaan merogol teman wanitanya berusia 12 tahun, tahun lepas.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Bornfree Tait, 26, yang berasal dari Sebuyau selepas mengambil kira rayuan tertuduh dan fakta kes.

Tertuduh merupakan seorang penganggur mengaku melakukan kesalahan itu pada November dan Disember tahun lepas, pertama di rumah teman wanitanya di Taman Lee Ling Matang untuk dakwaan pertama dan kedua.

Pasangan itu kemudiannya melakukan kesalahan sama di rumah tertuduh di Sebuyau pada 18 Disember 2010.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Bornfree dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan, hukuman penjara dilaksanakan serentak.

Sementara itu bagi pertuduhan ketiga, dia dijatuhkan enam tahun penjara dan empat sebatan yang dilaksanakan secara berturutan selepas pensabitan, bermakna tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan yang dilakukannya. Hakim mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa semalam.

Pertuduhan pertama dan kedua dibicarakan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol jika disabit salah boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dibicarakan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Dalam fakta kes, menyebut ibu bapa kepada gadis itu sering mendapati anak perempuan mereka itu tiada di rumah dan ekoran itu bapanya membuat laporan polis.

Sejurus selepas membuat laporan polis, ibu bapa gadis berkenaan dimaklumkan bahawa anak gadis mereka telah mengikut teman lelakinya ke rumahnya di Sebuyau.

Bapa gadis berkenaan kemudiannya membuat satu lagi laporan polis kerana mengesyaki anaknya telah dicabul oleh teman lelakinya dan membawa anak perempuannya itu ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Laporan perubatan mendapati terdapat kesan koyak pada alat sulitnya. Ibu bapanya kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki anak perempuan mereka telah dirogol oleh tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Heng Yan Loo terdahulu memohon agar hukuman seumpama itu dikenakan ke atas tertuduh memandangkan mangsa adalah gadis bawah umur. Bornfree yang tidak diwakili peguam, menangis sebaik diumumkan hukuman ke atasnya.