Masih ada pelombong emas haram di Gunung Tabai

0

BAU:Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol tidak menafikan masih wujud pelombong emas haram di Gunung Tabai. Ini berikutan pihaknya masih menerima aduan berhubung perkara tersebut namun setakat dua bulan terakhir ini masih belum ada tangkapan dibuat.

“Kegiatan melombong emas secara haram di Gunung Tabai masih berlaku tetapi buat masa ini keadaan masih terkawal dan kami akan sentiasa membuat pemantauan.

“Berkenaan tangkapan… sejak insiden terakhir di gunung tersebut kami belum ada membuat tangkapan tetapi ada merampas beberapa guni ‘tanah’(mengandungi emas) yang ditinggalkan semasa operasi pemantauan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sidang media tentang Regata Jong Bau 2011, di sini semalam.

Menurutnya, keadaan di gunung tersebut kini juga lebih terkawal dengan pengawasan oleh syarikat yang menjalankan aktiviti melombong emas secara sah.

“Keadaan kini juga lebih terkawal kerana syarikat berkenaan sudah ada pengawal untuk mengawasi pintu masuk ke kawasan lombong emas tersebut,” katanya.

Sungguhpun begitu, menurutnya sesiapa yang ditangkap kerana menjalankan aktiviti melombong secara haram jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara.

“Carilah pekerjaan yang lebih selamat dan jangan kerana ingin cepat kaya sanggup kita korbankan nyawa kita,” katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut Pengerusi Majlis Daerah Bau (MDB) Tom Hem Mijod yang berkata syarikat yang mempunyai kebenaran melakukan aktiviti melombang emas di gunung tersebut ialah syarikat Borneo Gold.

“Borneo Gold hanya boleh melakukan aktiviti melombong emas di Gunung Tabai tetapi bukan di Tasik Biru dan setakat ini mereka masih di peringkat kajian,” katanya