Guna CCTV bagi mengawasi pergerakan semasa PRU13

0

MIRI: PAS Sarawak sekali mencadangkan penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi mengawasi segala pergerakan semasa proses pemilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

Ketua PAS Miri Jofri Jaraiee berkata, sudah tiba masanya satu kaedah lebih canggih digunakan bagi memantau proses pilihan raya agar lebih lancar dan selamat.

“Sepatutnya kita sudah lama menggunakan kaedah yang lebih canggih dan moden dalam proses pengundian dan bukannya menggunakan cara lama yang tidak lagi relevan,” katanya di sini semalam.

Jofri memberitahu, penggunaan CCTV sekurang-kurangnya dapat mengelakkan masalah penipuan atau penyelewengan semasa proses pengundian.

“Meskipun begitu, CCTV berkenaan perlu mempunyai backup system atau sistem sokongan yang boleh menyimpan segala data yang dirakam agar tidak hilang jika berlaku terputus bekalan elektrik,” katanya.

Penggunaan CCTV dapat merakam wajah pengundi yang meragukan atau pengundi hantu pada hari pembuangan kertas undi kelak.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang keraguan mengenai status pengundi maka mereka boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi.

Tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga boleh memantau tempat pembuangan undi bagi mengelak sebarang perkara yang mencurigakan semasa proses pilihan raya.

Pada masa sama, peti-peti undi juga hendaklah disimpan di tempat yang selamat di bawah kawalan CCTV dan sebarang perkara yang meragukan akan diperiksa semula melalui rakaman itu.

“Setiap pengiraan undi di kawasan pengundian hendaklah dirakam dengan menggunakan CCTV supaya ia lebih terkawal daripada sebarang unsur penipuan semasa pengiraan,” katanya.

Justeru, beliau berharap SPR mempertimbang cadangan terbabit agar proses pengundian di negara ini lebih teratur dan dikawal dengan ketat untuk mengelak sebarang penipuan.