Nyaris lemas gara-gara tidak pandai berenang

0

KUCHING: Tiada kemahiran berenang menyebabkan seorang remaja lelaki hampir mati lemas ketika berenang bersama rakan-rakannya di kolam renang di BDC, di sini semalam.

Insiden dilaporkan berlaku apabila mangsa yang berusia 18 tahun dan berasal dari Bau bersama lima lagi rakannya berkunjung ke kolam renang berkenaan sekitar jam 4 petang.

Ketika sedang berseronok di kolam renang berkenaan, mangsa dikatakan tercungap-cungap sebelum hanyut ke kawasan yang lebih dalam.

“Rakan-rakannya kemudian segera menariknya ke tepi kolam renang berkenaan dan ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri sehingga beberapa anggota penyelamat terpaksa memberikan bantuan kecemasan.

“Selepas hampir 10 minit diberikan bantuan pemulihan penafasan (CPR) oleh anggota penyelamat, mangsa akhirnya sedarkan diri setelah memuntahkan air,”kata sumber.

Beberapa anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dikejarkan ke tempat kejadian dan mangsa kemudian dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Keadaan mangsa sehingga berita ini ditulis semalam dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS.